Wednesday, December 23, 2009

PERBEZAAN ANTARA TAKAFUL DAN INSURANS KONVENSIONAL

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Ramai yang kurang memahami beza di antara praktis yang dilakukan oleh syarikat Insuran dan Takaful. Setelah saya menulis tentang terdapat unsur gharar dan riba di dalam insuran konvensional. Maka timbul dakwaan bahawa jika demikian, takaful juga mengandungi proses yang sama. Lalu, bagaimanakah bentuk yang dilakukan oleh syarikat-syarikat Takaful?. Bukankah ia juga mempunyai elemen meletakkan wang dan menunggu pampasan apabila musibah mendatang.?

Jawapan mudah saya adalah, syarikat-syarikat Takaful telah mengubah aqad ‘Mu’awadah Maliah’ yang digunakan oleh syarikat Insuran konvensional kepada aqad Tabarru’at (kontrak derma). Hasilnya, aqad derma tidak terikat dengan syarat-syarat jual beli tadi, tidak juga diperlukan untuk jelas dan terang jumlah itu dan ini semasa serahan derma.

Contoh mudahnya, apabila anda memberikan hadiah kepada seseorang, adakah menjadi syarat agar anda memberitahu kepadanya berapa jumlah yang anda beri? Jawapnya sudah tentu tidak menjadi syarat. Ini kerana, ia adalah sumbangan baik dari satu pihak, tatkala itu tidak banyak syarat diperlukan untuk melaksanakan aqad derma ini.

Bagaimanapun bagi memudahkan urusan syarikat Takaful, mereka akan menggunakan gabungan beberapa aqad. Asas asasnya adalah :-

a) Tabarru’ dan Mudarabah
b) Wakalah dan Tabarru

Saya tidak akan mengulas kedua-dua bentuknya secara panjang lebar, cukup saya sertakan gambar rajah bagi kedua-dua bentuk agar ia dapat memberi sedikit gambaran awal kepada para pembaca. ( Malangnya saya gagal memasukkan gambar rajah ini )

1) Takaful Model Wakalah dan Tabarru’
Keterangan ringkas : Syarikat Pengendali Takaful dilantik oleh pencarum sebagi wakil bagi menguruskan sejumlah wang tertentu untuk didermakan bagi tujuan takaful apabila diperlukan. Untuk melaksanakan tujuan itu syarikat Takaful akan mengambil sejumlah upah (al-Ujr) atas sebagai kos pengurusannya. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai wakil untuk melaburkan wang yang belum didermakan dan atas dasr Ju’alah, syarikat akan mengambil satu lagi jumlah upah sekiaranya ia berjaya mendapatkan untung dari pelaburan yang diusahakannya itu.

2) Takaful Model Tabarru dan Mudarabah
Keterangan ringkas : Menurut model ini, pihak pencarum meletakkan wangnya dalam jumlah tertentu atas aqad tabarru’, pihak syarikat akan menguruskan tabung takaful dan dalam masa yang sama melaburkannya, jika terdapat lebihan keuntungan (surplus) setelah ditolak semua kos-kos pengurusan, pihak syarikat Takaful akan menghadiahkan sejumlah wang kepada peserta sebagai penghargaan penyertaannya.

Kesimpulan; perubahan dari aqad yang mengandungi ciri jual beli yang diamalkan oleh Insuran konevsnional menjadikannya bermasalah dari sudut Shariah. Ini berbeza dengan yang digunakan oleh Takaful yang menggunakan samada aqad derma (tabarru’) atau (wakalah).

Berikut pula perbezaan antara keduanya dalam bentuk jadual ;-

Konvensional Takaful
Kontrak Mu’awadah (Pertukaran Jual Beli) antara penanggung insurans dengan pohak yang diinsurankan Kontrak Tabbaru’ ( Derma & sumbangan ) yang disertakan dengan pelaburan.
Pemegang polisi membayar premium kepada penanggung insuran Peserta membuat caruman ke dalam skim. Peserta saling menjamin sesama sendiri di bawah skim.
Penanggung insuran bertanggung jawab membayar manfaat insuran seperti dijanjikan daripada asetnya (kumpulan wang insuran dan kumpulan wang pemegang saham) Pengendali Takaful bertindak sebagai pentadbir skim dan membayar Takaful daripada kumpulan wang takaful.

Sekiranya berlaku kekurangan dalam kumpulan wang takaful, pengendali Takaful akan menyediakan (Qardhul Hasan) pinjaman tanpa faedah untuk menampung kekurangan berkenaan.

Pelaburan kumpulan wang bebas tanpa sebarang kekangan Shariah Aset kumpulan wang Takaful HANYA boleh dilaburkan dalam instrumen yang selari dengan Shariah.

Wang pelanggan dianggap wang syarikat insuran dan dimilki olehnya sejurus dibayar oleh pelanggan. Wang pencarum tidak di kira sebagai wang syarikat malah ia diasingkan dan tidak dimiliki oleh pengendali

Keuntungan yang dihasilkan dari kumpulan wang pencarum adalah dimiliki sepenuhnya oleh syarikat. Ia juga adalah objektif utama syarikat insuran. Keuntungan hasil pelaburan dari kumpulan wang pencarum tidak dimiliki oleh syarikat kecuali nisbah yang disumbang dari wang syarikat sendiri. Baki keuntunaghn adalah milik tabung kumpulan wang pencarum.

Pencarum tidak berhak untuk mendapat sebarang bahagian dari ’surplus’ Lebihan, untung atau pulangan dipegang oleh tabung untuk dibahagikan semula kepada pencarum.

Demikian penerangan ringkas saya.

Ust Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/



17 Safar 1428 H = 7 Mac 2007

Apakah itu Takaful?

Takaful berasal dari perkataan Arab 'Al-Kafala yang bermaksud 'Saling jamin menjamin'. Dari segi tafsiran Syara' ia adalah pakatan satu kumpulan untuk saling jamin menjamin dan bantu membantu antara satu sama lain ketika para peserta kumpulan tersebut ditimpa sesuatu musibah.

CIRI - CIRI TAKAFUL
Sistem Islamik
Sumbangan At-Tabarru'at
Pelaburan halal
Majlis Pengawasan Syariah
Tiada unsur Riba
Tiada unsur Maisir (Judi)
Tiada unsur Gharar (Tidak jelas)
Al-mudharabah (Perkongsian untung)

Sistem Islamik
Konsep takaful iaitu 'Golongan ramai membantu golongan yang tidak bernasib baik" merupakan satu konsep yang diiktiraf oleh Islam. Ia telah dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran melalui surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud "Dan hendaklah kamu tolong menolong diatas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong diatas perkara dosa dan permusuhan". Ia membuktikan bahawa sikap bantu membantu sesama insan merupakan salah satu akhlak terpuji.

Sumbangan At-Tabarru'at
Tabarru'at dalan bahasa Arab bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks operasi Takaful setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah menyertainya dengan niat yang iklas ketika menyumbang (At-tabarru'at) bagi membantu sesama para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah. Dengan tepat, ia bermakdud semua peserta dalam kumpulan itu bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka jika ditimpa kemalangan

Dalam industri Takaful, At-tabarru'at yang diperkenalkan ialah Al-tabarru'at yang bersyarat.
Bersyarat adalah dimana setiap peserta yang ingin menyertai Takaful mestilah menderma sesuai dengan risiko yang dibawanya. Syarikat terpaksa menetapkan kadar Tabarru'at kerana ingin memastikan Tabarru'at yang disertai oleh semua peserta tidak terjejas bagi memberi keadilan kepada semua pihak, justeru itu jika seseorang peserta membawa risiko yang besar maka kadar tabarru'at yang mesti disumbangkan mestilah sepadan dengan risiko tersebut

Sumbangan Wang Yang Terkumpul Akan Dilabur Dalam Pelaburan Halal
Wang peserta yang terkumpul akan dilaburkan di kaunter-kaunter pelaburan yang halal dan diluluskan oleh Majlis Pengawasan Syariah

Bentuk pelaburan;
Bon Kerajaan (Al-Qardul Hassan).
Akaun Deposit di bank (Al-Mudharabah).
Projek Pelaburan (Al-Bai Bithaman Ajil).
Aset Hartanah.
Pembiayaan perumahan.
Sekuriti saham Islamik

Majlis Pengawasan Syariah (Akta Takaful 1984, seksyen 8 (5)(b)
"Bahawa terdapatnya dalam artikel persatuan pengendali Takaful yang berkenaan peruntukan bagi penubuhan Majlis Pengawasan Syariah untuk menasihati pengendalian tentang perniagaan Takafulnya untuk memastikan yang ia tidak terlibat dalam apa-apa unsur yang tidak diluluskan"

Tiada Unsur Riba
Elemen RIBA wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan kebanyakanya dilaburkan didalam instrumen kewangan seperti bon dan juga saham yang kerap melibatkan syarikat-syarikat yang beurusniaga dengan kegiatan sistem perbankan konvensional

Unsur RIBA juga terdapat dalam urusniaga PINJAMAN DARI POLISI (Policy Loan) yang ditawarkan kepada peserta dalam produk insuran hayat dalam sistem kemudahan pinjaman ini, syarikat insuran akan mengenakan bayaran faedah (Interest) kepada peserta yang membuat pinjaman. Jelas sekali bahawa faedah tersebut merupakan RIBA yang dilarang Islam.

Tiada Unsur Maisir (Judi)
Para ulama' menyatakan Maisir dan Gharar merupakan kaitan yang amat rapat. Ini bererti jika sesuatu transaksi itu mengandungi unsur gharar maka dengan sendirinya unsur judi turut ada. Kaitan antaranya adalah terlalu rapat dan saling berkait. Maisir (Judi) dalam kontrak insurans wujud bilamana:

Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya.
Peserta hilang wang premium apabila peristiwa ingin dilindungani (the insured event) tidak berlaku.
Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima.

Tiada Unsur Gharar (Tidak Jelas)
Maksud Gharar ialah "Ketidakpastian". Ketidakpastian dalam transaksi muamalah ialah : "Terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan ianya boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain". Di dalam kontrak insurans terdapat unsur ketidakpastian iaitu:

Tidak dapat dipastikan samada dapat atau tidak bayaran yang dijanjikan.
Tidak diketahui kadar bayarannya
Tidak diketahui bila masanya

Al-Mudaharabah (Perkongsian Untung)
Mudharabah bererti perkongsian untung diantara peserta dan syarikat.
Nisbah ditentukan tetapi nilai tidak dapat ditentukan
Nisbah pembahagian untung bergantung kepada aqad yang telah dibuat
Contoh Nisbah 50:50 atas keuntungan diantara peserta dan syarikat

KEUNTUNGAN MENYERTAI TAKAFUL
Menegakkan sistem muamalah Islam
Mendapat skim perlindungan melalui pelan takaful.
Mendapat pulangan melalui perkongsian untung
Keuntungan Pelaburan semasa tempoh takaful
Keuntungan pelaburan selepas tempoh takaful
Nisbah Mudharabah - 50: 50 diantara peserta dan syarikat

KELEBIHAN TAKAFUL
Sistem Islam
Prinsip ta'awun iaitu tolong menolong
Prinsip tadhiyar - korban kepentingan diri untuk orang lain Mengajak / mengatur menyertai
Sumbangan dengan konsep Tabarru' (Derma bersyarat tolong menolong)
Pahala / Kebajikan
Ada peserta, niat murni, syarat, saksi
Pelaburan - untung dikongsi
Al-Mudharabah % dipersetujui RM tidak tentu dijanjikan
Sumbangan ditabungkan kepunyaan peserta
Syarikat Takaful hanya pengendali tabung / akaun peserta
Untung milik bersama antara syarikat pengendali dan peserta
Pelaburan saham yang HALAL sahaja
Lembaga Pengarah - Majlis Pengawasan Syariah
Prinsip Muamalah Islam
Tiada riba, gharar , maisir dan adil
Jika berhenti, peserta mempunyai nilai serahan
Bonus diberi pada setiap tahun dan boleh dikeluarkan
Boleh mengeluarkan duit tanpa faedah
Zakat perniagaan dibayar
Tabung jariah membantu kita semasa di alam kubur

Dipetik dari: takaful2all.blogspot.com